Pesona Wanita

Majalah Pesona Wanita- Majalah Wanita Kini

Pesona Wanita Janurai 09

Posted by smahazan on December 18, 2008

blog

AKHIRNYA ASHRAF SINCLAIR DAN BUNGA CITRA LESTARI BERSATU

Takdir menentukan segalanya. Menyulam cinta selama dua tahun dengan menempuhi pelbagai onak duri, akhirnya pasangan secocok dan serasi penuh kontroversi Ashraf Sinclair 29, dan Bunga Citra Lestari, 25 selamat diijabkabulkan pada 8 November lalu.

Dengan hanya sekali lafaz tepat jam 4 petang waktu Indonesia, pelakon Gol & Gincu dan penyanyi terkenal dari Indonesia itu sudah sah sebagai suami isteri. Ashraf juga telah menyerahkan sepasang anting-anting berlian seberat 1.5 karat sebagai mas kahwin. Diadakan di Masjid Al-Bina, Senayan, Jakarta, majlis akad nikah menyaksikan rombongan pihak lelaki menghadiahkan 25 dulang hantaran. Wah! Banyak tu! Yang menarik, majlis itu juga menjadi tumpuan untuk semua media di Malaysia dan Indonesia.

Ashraf yang mengenakan baju rekaan Brutus  dan Bunga pula kelihatan anggun mengenakan baju rekaan Anna Avantie. Ini memberikan pasangan ini begitu menitik beratkan tentang penampilan sepanjang perkahwinan mereka. Disaksikan hampir 50 orang rombongan daripada pihak lelaki, pasangan tersebut dinikahkan oleh Pegawai Pejabat Agama kawasan Tanah Abang, Ashras Syahroni.

Memilih Kepulauan Maldives sebagai lokasi berbulan madu mereka, Ashraf mengharapkan agar perkahwinan ini melenyapkan segala gosip liar berkaitan mereka sebelum ini. Di majlis pernikahan tersebut busana Minang rekaan Brutus dan Anne Avantie yang begitu anggun bagi Ashraff dan Bunga telah dipilih.

Debaran memuncak terpancar di wajah Ashraf saat sebelum dinikahkan tetapi akhirnya berakhir dengan kegembiraan selepas mereka disahkan menjadi pasangan suami istari.

Sehari selepas itu majlis resepsi pihak perempuan berlangsung di Hotel Sultan, Senayan, Jakarta menyaksikan Bunga tampil menyanyikan lagu Aku Dan Dirimu bersama Ari Lasso tanda kasih dan cintanya kepada Ashraf. Selain Afgan, Vina Panduwinata dan Krisdayanti juga hadir menghiburkan khalayak.

Demi membuktikan perasaan cintanya yang sebenar, artis terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari Sinclair akan menyampaikan sebuah lagu berjudul Aku Dan Dirimu yang menampilkan Ari Lasso buat suami tercinta, Ashraf Daniel Sinclair. Disampaikan dalam majlis persandingan mereka menggunakan konsep adat Minang di Grand Ballrom Hotel Sultan, Jakarta.

“Saya sangat gembira dengan apa yang telah terjadi dan syukur ke hadrat Ilahi akhirnya semuanya berlangsung dengan baik. Saya amat berharap agar perkahwinan ini akan berkekalan sehingga ke akhir hayat,” jelas aktor tampan berusia 29 tahun ini selepas majlis pernikahannya menerusi kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada Hits.

Menyingkap kisah cinta mereka, terang adik Aishah Sinclair ini, bukanlah seindah biasa. Ini kerana, kisah percintaan mereka pernah dilanda kontroversi apabila gambar-gambar percutian mereka berdua sedang bercumbuan pernah diedarkan di Internet sekitar Ogos tahun lalu.

Tidak cukup dengan itu pelbagai lagi spekulasi melingkari perjalanan cinta mereka sehinggakan Ashraf hampir lelah dengan percintaan tersebut. Namun seperti yang telah tertulis, akhirnya cinta mereka berdiri teguh dengan restu Ilahi.

Majlis perkahwinan Ashraf dan Bunga adalah satu sejarah untuk kedua-dua negara di mana gabungan ini akan pastinya mengukuh dan merapatkan lagi silaturrahim di antara Malaysia dan Indonesia.

Setelah menjadi suami Bunga, Ashraf telah buat keputusan untuk terus menetap di Jakarta dan bekerja di sana sebagai seorang pelakon. Kini, Ashraf sedang giat berlakon dan ternyata telah mendapat perhatian peminat dari Indonesia. Syabas!

SUASANA KECOH DI MAJLIS RESEPSI

Bertempat di Ballroom, The Saujana Hotel Subang, kedua mempelai diraikan dalam suasana indah, romantis, meriah dan lancar. Namun, Majlis resepsi perkahwinan aktor Ashraf Sinclair dan penyanyi Indonesia Bunga Citra Lestari tetap diselubungi dengan kontoversi setelah ada pihak media yang tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan.

Segalanya berjalan dengan lancar mengikut apa yang dirancang, dari majlis memotong kek, pertunjukan multimedia memori indah si pengantin, telatah mengajuk detik perkenalan hati budi mereka oleh pengacara majlis iaitu Sazzy Falak dan teman rapat Ashraf, Kit, hinggalah ke nyanyian istimewa rakan terdekat iaitu Ferhad.

Akan tetapi suasana meriah tersebut berubah sekelip mata apabila pihak media terpaksa menunggu pasangan pengantin yang dinikahkan pada 8 November lalu ini melakukan sesi bergambar bersama keluarga dan rakan-rakan dalam jangka masa yang agak lama.

“Majlis resepsi ini kami sediakan untuk semua terutama keluarga, teman-teman rapat dan pihak wartawan. Tetapi, untuk menjayakannya, kita perlukan kerjasama antara satu sama lain dalam melaksanakan peranan masing-masing baik yang datang untuk meraikannya dan juga yang melaporkan,” tegas Ashraf kepada salah satu soalan sinis yang menyoalkan sebab beliau dan isteri tidak dapat memenuhi sesetengah permintaan media untuk menemubual secara eksklusif.

Akan tetapi jawapan ini tidak dapat meredakan kemarahan media tempatan yang terasa masa mereka ‘tidak dihormati’ kerana menunggu terlampau lama untuk menemubual mereka.

Malah, layanan mesra Ashraf dengan media Indonesia menguatkan lagi spekulasi beliau ibarat ‘kacang melupakan kulit’ yang beriya-iya ingin melebarkan sayap ke ‘bumi Garuda’ dalam jangka masa dua tahun dari sekarang.

“Saya tidak bermaksud sebegitu sebab Kuala Lumpur tetap menjadi tapak utama dalam perkembangan karier saya kerana ia bermula dari situ,” jelas Ashraf yang telah mengikat kontrak berlakon dalam 200 episod drama produksi Indonesia dan bakal muncul menerusi dua buah filem Indonesia iaitu Pocong dan Saus Kacang.

Diharap, ianya bukan hanya tinggal janji kosong selepas dua tahun kemudiannya kerana apapun yang berlaku, ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri’.

Untuk Bunga pula, dengan mempelajari cara bertutur dan budaya Malaysia, pastinya akan dapat membantu Ashraf terus mengingati asal-usulnya. Malam yang bertemakan “Lakaran English & Malay Wedding” dikendalikan oleh syarikat pengurusan Ashraf, Beyond Events. Tema yang dipilih bersesuaian sekali memandangkan keluarga Ashraf terdiri daripada campuran Melayu Inggeris. Gazebo yang tersergam indah yang direka dan dicipta khas oleh Sulian dari Areca Special Projects Sdn. Bhd tdi pentas Saujana Hotel melengkapkan lagi kemeriahan majlis.

Dihoskan oleh Sazzy dan seorang kenalan rapat Ashraf dan Singapura menggamatkan lagi suasana. Usikan dan gurauan mereka yang membongkar kisah percintaan dua insan seni ini ternyata membuatkan tetamu yang hadir tidak dapat menahan tawa masing-masing.

Pakaian Ashraf, adiknya, Adam, Shahnaz dan bapa Ashraf, Muhamad Sinclair pada malam ini telah direka oleh pereka tempatan, Bon Zainal manakala pakaian Bunga direka oleh Sikie dari Jakarta.

Sementara itu, hiasan bunga-bungaan segar dihias indah oleh John Lee dari House of Flowers yang mempunyai 20 tahun pengalaman di dalam bidangnya.

Majlis yang dihadiri kira-kira 200 orang tetamu itu melibatkan ibu dan bapa Bunga, Emmy Syarlef dan Muchlis Rosli, ibu dan bapa Ashraf, Khadijah Abd. Rahman dan Muhamad Sinclair serta rakan artis. Antara selebriti dan VVIP yang turut hadir adalah M. Nasir dan isteri, Marlia Musa, Nazruddin Habibur Rahman dan isteri, Sheanne Iman Lee, Jehan Miskin dan Datuk Seri Farid Ridzuan.

Kepada Ashraf dan Bunga, Pesona Wanita ingin mengucapkan selamat berbahagia hingga ke akhir hayat.

 

Posted in Cover Depan | Tagged: , , | Leave a Comment »

Pesona Wanita Disember

Posted by smahazan on November 17, 2008

blog11

TEKAD HATI WANITA

Nampaknya semakin panas menggelegak juga kisah keretakan rumahtangga antara dua orang dramatis popular ini. Boleh dikatakan kesemua suratkhabar dan media massa begitu fokus dengan memaparkan berita Abby Abadi dan Norman Hakim. Apa tidaknya, berita sensasi sebegini pastinya akan dapat melariskan dan dapat menaikkan rating penonton.

Namun, penulis mengharapkan peristiwa kemelut rumahtangga ini dijadikan iktibar untuk kita semua, bukan sebagai setakat pandai melontar komen dan menyalahkan mana-mana pihak.

Hati wanita mana yang tidak berang dan marah apabila insan yang disayanginya telah berpaling tadah. Hati perempuan mana yang tidak remuk setelah mendapati rumahtangga yang dipertahankan tidak dapat diselamatkan lagi. Begitu juga dengan Abby Abadi yang marah dan berang apabila suaminya dikatakan cuba mempertahankan kebaikan Suhaiza Suhaimi atau Memey, 20, hingga menimbulkan suasana tegang di lokasi penggambaran drama Gerak Khas berhampiran Carrefour Wangsa Maju November lalu.

Selepas gagal membuat permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Hulu Klang, Abby kini pasrah dengan takdir yang menimpa dirinya. Abby menghadapi masalah kerana dinasihatkan pihak mahkamah supaya mengemukakan beberapa dokumen yang didakwanya berada dalam simpanan Norman termasuk surat rujuk perceraian mereka pada Mei 2006.

Bikin kecoh seketika apabila sekumpulan wartawan menemubual Norman Hakim mengenai masalah rumahtangganya di situ, Abby tiba-tiba mencelah untuk mendapatkan kepastian daripada suaminya mengapa dia masih menyebelahi Memey.

Nekadnya sekeping hati isteri bernama Arbaeyah Abdul Manan ini bertanyakan soalan itu di hadapan wartawan kerana dakwanya sejak kes khalwat itu pada 30 Oktober lalu, Norman langsung tidak mahu berjumpa. Lebih dari itu, semua panggilan telefon dari Abby tidak dijawab oleh Norman.

Terkedu seketika Norman apabila berhadapan dengan kejadian itu. Dramatis Gerak Khas ini kelihatan sebak dilihat berjalan ke satu sudut jauh dari wartawan sambil membawa borang perceraian ditunjukkan Abby.

Pada waktu itu, wartawan memberi ruang kepada mereka untuk berbincang dan hampir 45 minit kemudian Norman kembali menemui wartawan dengan wajah muram yang berselindung di sebalik kaca mata hitam sambil Abby mengikutnya dari belakang.

Dengan linangan air mata, Norman berkata, dia boleh memberikan kerjasama terhadap tuntutan Abby tetapi dia memerlukan kehadiran orang ketiga iaitu Memey. Dalam keadaan sekarang, katanya, dia perlu menjaga hati ramai pihak, termasuk orang tua Memey selain Abby masih isterinya.

KISAH TILAM DAN BANTAL ABBY

Sekarang ini, apa yang berlaku begitu meyakinkan Abby Abadi yang suaminya memang tidak perlukan dirinya lagi. Kata Abby, “Dia bukan Norman Hakim yang saya kenali dulu,”

Abby Abadi telah meluahkan isi hati wanitanya ketika muncul sebagai tetamu bagi rancangan “Wanita Hari Ini” di TV3. Di dalam temubual bagi segmen “Tilam & Bantal” itu, pada awalnya, Abby tampak tenang tetapi ternyata hati rapuhnya gagal menahan dari menitiskan airmata apabila terus ditanya tentang apa sebenarnya yang telah berlaku di antara beliau dan Norman.

“Masalah ini bukan baru, on and off, memang ada cerita tentang dia dan perempuan lain. Tapi saya terima sebagai dugaan. Dalam kes ini pula, saya ada terima SMS dari saudara perempuan itu sendiri yang mengatakan Norman dan perempuan itu memang berkawan. Saya bertanyakan hal itu kepada Norman dan dia bersumpah dia tidak ada apa-apa dengan perempuan itu, dan saya terima. Saya marah penghantar sms itu dan bertanyakan kenapa nak buat cerita yang tak ada. Insiden ini berlaku Disember lalu.”

Mengenai berita yang mengatakan Norman telah lama tidak pulang ke rumah, Abby tidak menafikan yang ianya berlaku. “Dia memang suka buat hal sendiri, tapi kali ini paling worst. Sepanjang saya mengandung anak ketiga, dia memang tidak balik. Sewaktu saya di rumah emak saya, dia kata dia tidur di pejabatlah, di rumah sayalah, tapi memang saya tak nampak dia pun. Alhamdulillah sewaktu pantang, saya kuat. Tapi keadaan sekarang memang sukar saya terima.”

Apabila ditanya adakah sikap beliau sendiri menjadi penyebab kemelut yang dihadapi kini, Abby menjawab: “Saya rasa bukan sikap saya yang menjadi penyebab kepada masalah ini. Apa yang saya boleh kata ialah, bila suami buat salah, memang ada silap kita sebagai isteri. Tapi kalau selalu sangat buat salah, tak boleh terima.”

Abby juga mengaku yang sebelum ini beliau pernah pergi ke lokasi penggambaran untuk mencari Norman. “Saya memang ada pergi ke lokasi, tapi saya duduk saja dalam kereta. Tapi walaupun bila shooting berehat, dia langsung tak datang berjumpa saya, walaupun saya lama menunggu dalam kereta.”

“Saya tak rasa saya mengongkong dia, tapi saya memang ambil berat atas apa-apa yang berlaku. Tapi kini telah sampai satu tahap saya seperti tiada hak lagi sebagai isteri sehingga dia boleh berbuat apa saja.”

Berikutan dengan tindakan Norman selepas insiden beliau ditangkap khalwat minggu lepas, Abby mengulas: “Sejak insiden khalwat tu, dia memang tidak ada pulang ke rumah untuk menerangkan keadaan. Cuma dia meminta berjumpa sekali saja. Dia minta saya bagi kekuatan pada dirinya. Dia minta saya tolong jaga perhubungan dia dengan perempuan itu. Saya fikir, macam mana dengan perasaan saya? Saya rasa itu memang last yang saya nak jumpa dia. Saya tak sangka dia akan buat saya macam ini.”

Tentang perbuatan beliau menyerahkan surat cerai kepada Norman di lokasi penggambaran dan disaksikan orang ramai, Abby memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia di atas tindakan beliau itu dan beliau mengaku berasa malu dengan apa yang telah berlaku. 

Sebagai pesanan penutup rancangan, Abby berkata: “Terima kasih di atas semua sokongan yang saya terima. Bagi Norman, teruskanlah impian untuk terus bersama perempuan itu, saya sudah terima kenyataan itu.”

KEMELUT HIDUP ABBY ABADI

Hasil perkongsian hidup mereka, Abby dan Norman dikurniakan tiga anak, Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danisha Hakim. Pada mulanya, kehadiran Maria Danisha Hakim diharapkan dapat menguatkan lagi hubungan Norman dan Abby.

Namun ternyata impian tidak seindah realiti yang berlaku. Bayi perempuan dilahirkan secara normal Rabu lalu jam 8.22 pagi di Poliklinik Kohilal, Taman Melawati itu hanya sekadar tempelan untuk mengaburi mata peminat. Realitinya, Norman Hakim masih lagi mengharapkan kasih dari wanita lain yang mungkin baginya lebih sempurna dari Abby.

Bagi Abby Abadi, kehadiran si comel Maria sememangnya menambahkan keceriaan suasana rumah tangga Norman dan Abby yang sebelum ini sudah pun diserikan dengan dua cahaya mata yang kian membesar Mohamed Danish Hakim, 5, dan Marissa Dania Hakim, 3. Namun, apalah malang nasib yang menimpa nampaknya kehidupan rumahtangga tidaklah seindah yang mereka sangkakan.

Kelahiran Maria pada 17 September lalu juga merealisasikan hasrat Norman yang mahu anaknya dilahirkan pada hari Nuzul Quran. Norman juga berkata, setiap kali isterinya melahirkan, dia akan sentiasa berada di sisi Abby untuk menemaninya.

ANUGERAH TERINDAH

Lebih lapan tahun menerajui drama bersiri Gerak Khas mungkin boleh dikatakan membawa tuah kepada Abby Abadi. Watak Inspektor Aleeza bagaikan serasi dengannya hingga empat kali dinobatkan Pelakon TV Wanita Popular.

Pada dua tahun lalu, Abby Abadi terpaksa merelakan takhta yang dipertahankan pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) itu beralih ke tangan ratu telenovela, Eja. Dia akur dengan kehendak penonton, tiada langsung timbul sekelumit kecewa sebaliknya tersenarai sebagai calon akhir adalah satu kejayaan besar buat dirinya. Satu rasa kesyukuran terpancar dari riak tenang wajahnya.

Malah, saat ini pun ibu kepada tiga cahaya mata ini seakan tidak percaya dia masih mempunyai peminat apabila sekali lagi namanya tersenarai untuk kategori sama, biarpun sekadar bersandarkan kepada drama kepolisan yang turut menampilkan suaminya, aktor Norman Hakim. Setelah berita tentang pergolakan rumahtangganya, kini peminat semakin banyak bersimpati dan menyokong kehidupan Abby.

Bersandarkan pada itu, Abby kembali ingin bangun dan teruskan perjuangan dalam bidang seni lakonan.  Semoga Abby Abadi terus tabah menghadapi dugaan dalam hidupnya.


PROFILE ABBY ABADI

NAMA SEBENAR: Arbaieyah Abdul Manan

TARIKH LAHIR: 1 Disember 1977

PROFESION: Pelakon, penyanyi, pengacara

STATUS: Berkahwin

SUAMI: Norman Hakim

ANAK: Mohamed Danish Hakim dan Marissa Dania Hakim

ALBUM: Antaranya – Tamparan Wanita bersama kumpulan Elite

FILEM: Antaranya – Gerak Khas The Movie, Gerak Khas The Movie 2, Gerak Khas The Movie 3.

DRAMA TV: Antaranya – Manjalara, Gerak Khas, Menantu Mak Dara, Labuna Labuni

HOS: Roda Impian

PENCAPAIAN: Antaranya – Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian, empat tahun berturut-turut.

 

 

 

Teks dan gambar oleh: budiey (www.budiey.com)

Posted in Cover Depan, Uncategorized | Tagged: , , , , , , , | Leave a Comment »

Pesona November

Posted by smahazan on October 19, 2008


Kategori syukur ada 3 kategori. Syukur dengan hati, lidah dan anggota. Syukur dengan hati adalah dengan mengucap syukur kepada Tuhan diam-diam di dalam hati, tanpa melibatkan kata-kata atau nada lafaz suara dengan nada berbisik.
Syukur dengan hati boleh dilakukan bila-bila masa di kala Anda sedang memerhati sesuatu, berfikir atau sedang bercakap dengan seseorang.
Syukur adalah sebagai rasa terima kasih atas nikmat-nikmat pemberian Tuhan. Kita lahir di dunia, bersekolah, belajar dan bekerja kerana kita menggunakan nikmat-nikmat yang diberikan oleh Tuhan melalui ibu bapa kita. Bila kita menerima sesuatu, wajarlah kita mengucap terima kasih. Bila kita jarang berterima kasih, kita dianggap sombong. Jadi, sesiapapun takkan mahu memberi kita apa saja yang mereka ada. Mana-mana pihak pun tak mahu berkongsi dengan kita, hanya kerana kita sombong, tak mahu berterima kasih.
Di dalam perhubungan sesama manusia, orang yang memberi dan bila diucap terima kasih atas pemberiannya, sudah tentu akan bersemangat nak memberi dengan lebih banyak lagi. Cuba Anda memberi sesuatu pada kawan-kawan atau ahli keluarga, kemudian mereka mengucap terima kasih kepada Anda, sudah tentu Anda berasa terharu dan bahagia. Pastinya Anda akan memberi lagi, sebab Anda merasa terharu dan sangat bahagia mendengar ucapan terima kasih dari mereka. Hati pun menjadi tenang.
Syukur dalam hati dalam membentuk diri kita menjadi manusia pemberi. Seorang manusia pemberi suka memberi tanpa mengharap balasan, kerana menganggap pemberiannya itu adalah satu pelaburan buat dirinya di akhirat nanti. Mana-mana agama pun setuju dengan konsep ini. Mereka percaya dengan kehidupan selepas mati, atau life after death.
Segala yang kita buat, sekecil manapun, akan tetap menerima balasan. Buat baik, akan dibalas dengan baik. Hukum ini tak pernah tersilap, bahkan berlaku setiap masa di mana-mana saja.
Jadi, bila kita bersyukur, ikhlas memberi, orang lain juga akan suka memberi pada kita. Jika manusia suka memberi pada kita sebab kita selalu bersyukur atau berterima kasih, Tuhan sudah tentu suka memberi kita nikmat-nikmatnya.
Antara nikmat-nikmat yang diberi pada orang selalu bersyukur adalah ketenangan hati, kebahagiaan dan paling ketara kemurahan rezeki. Jika Anda mahu rezeki Anda menjadi murah, sentiasa mengalir, rajin-rajinkan diri bersyukur mulai hari ini juga.

Posted in Cover Depan, Uncategorized | Tagged: , , , , , , | Leave a Comment »

Pesona Wanita Oktober 2008

Posted by smahazan on September 14, 2008


BERSAMA KAK SU
Selamat Hari Raya Kak Su ucapkan kepada pembaca setia “Bersama Kak Su.”
Tiada apa yang ingin Kak Su katakan selain rasa syukur kepada Allah kerana Kak Su mampu menjalankan ibadah puasa dengan sempurnanya pada tahun ini, Alhamdulillah.
Setiap kali tiba hari raya, setiap kali itulah kak Su merasa sebak. Sepanjang perkahwinan, Kak Su tidak pernah menyambutnya bersama suami. Biarpun sebelum raya kami masih bersama tetapi bila tibanya hari raya, masing-masing akan membawa haluan sendiri. Kak Su dan anak-anak akan pulang ke kampung dan Abang Usu akan balik ke rumahnya di Utara. Tidak pernah ada apa-apa perjanjian, tapi begitulah setiap tahun kami akan berpisah semata-mata untuk berhari raya dengan keluarga sendiri.
Kadang-kala kak Su tertanya sendirian, kenapa Kak Su dinafikan hak untuk bersama suami di hari raya? Kata Abang Usu, dia mahu memberi peluang kepada Kak Su untuk beraya bersama keluarga. Kalau dua tiga tahun kak Su masih boleh terima tapi bila sudah lebih 10 tahun, kak Su mula terasa keluarbiasaanya. Anak-anak mula bertanya kenapa ayahnya tidak mahu beraya bersama? Kak Su tidak pernah memberikan apa-apa jawapan kerana Kak Su tahu jawapan itu akan hanya menitiskan airmata. Abang Usu tidak pernah mempelawa dan Kak Su juga tidak berani untuk bersuara kerana takut jawapannya nanti akan lebih menyakitkan hati. Cuma satu yang perlu abang Usu tahu, Kak Su sanggup mengikut Abang Usu walau ke mana saja Abang Usu pergi.
Sering Kak Su bertanya pada diri sendiri, Siapakah Kak Su dan anak-anak di hati Abang Usu? Biar sebanyak manapun kasih sayang Abang Usu pada Kak Su tetapi tidak ada ertinya kalau hari yang bahagia kita tidak dapat bersama. Kak Su ingin sekali mengucup tangan Abang Usu di pagi raya memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan. Kak Su ingin sekali bersama-sama abang Usu ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri. Kak Su kasihan melihat anak-anak yang seperti kehilangan sesuatu bila melihat saudaranya yang lain memeluk dan mencium tangan bapa di pagi raya.
Terlalu baikkah Abang Usu dengan membiarkan Kak Su dan anak-anak pulang sendirian ke kampung. Kami terpaksa menumpang mana-mana kereta yang kosong demi untuk meneruskan perjalanan. Abang Usu bukanlah seorang yang miskin tapi hidup Kak Su dan anak-anak seperti seorang musafir. Abang Usu tahu, sepanjang perjalanan Kak Su menahan sebak bila memikirkan keadaan kami yang terpaksa menempuh perjalanan yang sukar. Setiap masa Kak Su berdoa supaya dapat bertemu dengan abang Usu kembali. Biar siapapun abang Usu, namun cinta ini tidak pernah berubah.
Mungkin takdir telah menentukan segala-galanya. Ada masanya kita boleh bersama dan ada masanya kita terpaksa berpisah. Kalau inilah takdirNya, Kak Su redha menerimanya. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.

Dapatkan Majalah Pesona Wanita Di Pasaran Dengan Segera

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »

Mencari Jalan Pulang

Posted by smahazan on August 23, 2008


MENCARI JALAN PULANG 0LEH: SYAFINAZ ABDULLAH
Kristian adalah agama asal saya. Namun Islam bukanlah sesuatu yang asing bagi saya. Lingkungan hidup saya dikelilingi oleh teman-teman dan jiran-jiran yang rata-ratanya beragama islam. Saya selalu melihat kawan-kawan saya mengerjakan solat dengan pakaian yang serba putih. Bahkan saya kagum dengan mereka yang melakukan solat lima kali sehari seperti yang pernah diceritakan oleh teman baik saya iaitu Suhada. Sementara saya cuma pergi ke Gereja seminggu sekali dengan memakai skirt pendek yang ketat. Ibubapa saya memang taat dalam beragama. Dan tentunya saya juga seperti penganut agama lain yakin dengan agama saya ini. Tidak pernah terfikirpun untuk beralih kepada agama lain. Namun sesungguhnya, sebagai pencipta yang memiliki setiap segala sesuatu, Dialah yang lebih mengetahui kepada siapakah hidayah itu akan diberikan.
Setelah tamat pengajiaan, saya mengajar bahasa inggeris di sebuah tadika islam kepunyaan kawan saya. Di tadika itu saya banyak mengenal cara-cara hidup orang islam. Paling tersentuh hati apabila melihat anak-anak yang masih kecil membaca doa sebelum makan dan selepas makan. Akhirnya saya juga telah tahu membaca doa dan mengamalkan setiap kali saya makan walaupun saya tidak tahu ertinya. Anak-anak ini juga akan diajar mengaji dan solat. Walaupun masih kecil tetapi mereka melakukan dengan begitu tertib sekali tanpa mengeluarkan bunyi bising. Saya merasa begitu seronok sekali mengajar di sini walaupun gajinya tidak sebesar mana. Anak-anak di sini membuat saya merasa begitu tenang sekali . Biarpun agak nakal tetapi bila waktu makan mereka akan berebut-rebut untuk membaca doa.
Setahun kemudian saya telah berkahwin dengan seorang lelaki yang beragama kristian yang terlalu fanatik dengan agama. Bersama suami, saya semakin aktif pergi ke gereja dan mengikuti setiap upacara yang diadakan. Saya banyak membaca buku-buku yang yang berkaitan dengan agama kristian untuk menambahkan ilmu kerana sesekali saya dijemput untuk memberikan ceramah kepada penganut yang baru. Namun semakin banyak saya membaca buku-buku dan kitab kristian semakin banyak yang saya rasa tak kena dalam agama ini terutamanya tentang Jesus yang di anggap anak Tuhan. Tanpa pengetahuan suami , saya telah membeli beberapa buku tentang agama islam. Saya ingin membuat pembandingan dan ingin mencari kekurangan dalam agama islam supaya saya lebih nyakin untuk berada dalam kristian.
Maha suci Allah. Semakin banyak saya membaca tentang islam, keindahannya semakin terserlah. Saya membaca dan terus membaca sehingga saya rasa dibawa pada satu alam yang lain. Saya berada pada satu tempat yang lapang di mana beribu-ribu orang memakai pakaian serba putih dan berzikir dengan menyebut nama Allah. Seolah ada suara yang menyuruh saya menyertai mereka dan sama-sama memuji nama Allah. Bila saja saya mengucapkan Allahu Akbar saya merasa segala persoalan yang bermain di kepala saya selama ini terlerai. Saya terus menyebut Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar sehingga saya terjaga. Rupanya saya bermimpi tetapi mimpi yang cukup indah dan amat bereti bagi saya.
Sejak hari itu saya banyak membaca buku-buku tentang islam. Saya ingin mencungkil segala rahsia dan keindahan yang terdapat dalam islam. Dalam kelekaan saya mencari kebenaran saya menjadi semakin malas mengikut suami ke gereja. Rupanya perubahan sikap saya ini disedari oleh suami. Suami saya telah memaksa saya memberitahu siapakah yang menghasut saya selama ini. Bila saya menerangkan bahawa saya telah mendapat petunjuk dari buku-buku yang saya baca, suami saya terus mengamuk. Semua buku-buku saya dikumpul dan dibakarnya. Waktu itu saya menangis semahu-mahunya. Saya merasa amat sedih sekali bila segala ilmu yang saya kutip dari buku itu dibakar begitu saja. Seakan diri sayapun terbakar sama.
Sejak hari itu segala gerak-geri saya diawasi oleh suami. Semua buku yang saya baca akan ditapis terlebih dahulu. Saya dianggap seperti seorang penjenayah. Namun itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus mendalami agama islam. Walaupun saya masih lagi mengikuti suami ke gereja tapi semua itu saya lakukan kerana terpaksa. Mimpi yang sama sering saja berulang dan ini membuatkan saya semakin rindu kepada islam. Rindu ini lebih dari merindui seorang kekasih, rasa rindu yang tak tertanggung sehingga membuat saya seperti orang hilang akal. Kadang-kala tanpa sedar saya menyebut nama Allah. Sungguh, bila hidayahMu datang tak siapapun dapat menghalang.
Sejak hari itu hubungan saya dengan suami tidak semesra dahulu. Suami mula melayan saya seperti tawanan perang. Silap sedikit, tangannya akan singgah ke badan saya. Malah katanya, dia sanggup membunuh saya dari membiarkan saya menganut agama islam. Namun semakin kuat dia menekan saya semakin dekat saya dengan islam. Dalam diam-diam saya menghubungi kawan saya tempat saya pernah mengajar dahulu. Saya ceritakan tentang keinginan saya mengenali islam. Kawan saya mengajak saya berjumpa dengan seorang ustaz untuk saya meluahkan hasrat saya itu. Pada hari yang dijanjikan saya keluar dari rumah dengan membawa beberapa helai baju. Saya sudah nekad, kalau sudah terpaksa saya akan keluar dari rumah ini biarpun terpaksa berpisah dengan suami.
Namun apa yang kita inginkan tak sama apa yang kita dapat. Rupanya sewaktu saya keluar dari rumah, suami saya telah mengekori saya. Di pertengahan jalan saya telah diseret dan dimasukkan dalam kereta. Sesampai di rumah, saya telah dipukul dan di sebat semahu-mahunya. Sekuat mana saya meraung kesakitan sedikitpun tidak dipedulikan olehnya. Seperti orang yang yang dirasuk hantu saya dipukul tanpa henti. Kegilaannya membuat saya tak mampu untuk melawan sehingga saya jatuh pengsan. Bila sedar saya dapati saya telah di kurung dalam bilik yang dikunci dari luar. Dalam menahan kesakitan saya menyebut Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Sesungguhnya waktu itu barulah saya sedar hanya kepadaNya sajalah tempat saya memohon pertolongan.
Allah telah memberikan pertolongan melalui kawan saya. Setelah saya tidak datang pada tempat yang dijanjikan, kawan saya mengesyaki sesuatu yang tidak baik telah berlaku pada saya. Dia telah membuat report ke balai polis atas aduan penderaan yang dilakukan suami saya terhadap saya. Bersama polis, kawan saya telah datang ke rumah untuk melihat keadaan saya. Pada mulanya suami saya memberi alasan saya tiada di rumah, namun segala-galanya terbongkar apabila polis memeriksa rumah saya dan menemui saya yang dikurung dalan bilik dalam keadaan badan yang lebam-lebam. Saya telah di bawa ke hospital untuk mendapat rawatan, sementara suami saya telah dibawa ke balai polis untuk siasatan. Kerana tidak sanggup lagi hidup bersama saya memohon perceraian. Ibubapa saya yang telah melihat penderaan ke atas saya ini juga bersetuju dengan penceraian ini tanpa mengetahui semua ini adalah berkaitan dengan agama.
Pada 23 Julai 2006, secara sahnya saya telah memeluk agama islam dengan dibimbing oleh seorang ustaz. Demi untuk ke selamatan, saya telah berhijrah ke pantai timur dan tinggal di sebuah pondok sambil mempelajari agama islam dengan lebih mendalam. Di sini saya betul-betul merasa tenang, damai dan satu perasaan yang sukar dilahirkan dengan kata-kata. Alhamdulillah kerana saya terpilih menjadi hamba untuk mengesakan Tuhan yang satu.

Posted in Pengakuan | Leave a Comment »

Pesona Wanita September 2008

Posted by smahazan on August 23, 2008

SEKAPUR SIREH
Allah tidak menjadikan wanita itu sekadar satu hiasan untuk kaum lelaki sahaja. Tetapi Allah menciptakan Hawa sebagai teman yang mendampingi hidup Adam tatkala kesepian di syurga. Allah ciptakan wanita sebagai pasangan hidup kaum lelaki untuk menyempurnakan hidupnya dan sekaligus memberikan zuriat sebagai penyambung generasi akan datang.
Namun ada juga yang memandang rendah terhadap kaum wanita. Wanita dihina, dinista. Kesuciannya diragut, tenaganya dieksplotasi bagaikan hamba abdi. Kelembutannya diperdagangkan. Wanita hanya dijadikan sebagai pemuas nafsu semata. Habis madu sepah dibuang. Allah menciptakan wanita dari tulang rusuk lelaki, dekat dengan lengannya untuk dilindungi. Dekat dengan hatinya untuk dicintai.
Sejarah telah mencatat dengan tinta emas kehebatan kepahlawanan para wanita. Di mulai dari Ummul Mu’minin, Aisyah, Fatimah Az-Zahra dan lain-lain. Telah tamat masanya untuk perempauan hidup terhina. Sudah berlalu awan kelam yang menyelimuti gadis-gadis kecil tidak berdosa yang dikubur hidup-hidup kerana ia seorang perempuan. Sejak cahaya islam menyinari bumi melalui tangan seorang Rasul, perempuan berada di tempat yang terhormat. Rasulullah pernah bersabda, “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.”
Sebagai makluk yang sama-sama mengabdikan diri kepada Allah, perempuan dan lelaki memiliki hak dan kewajiban yang sama. Bahkan lebih jauh, ada pekerjaan yang tidak dapat dikerjakan oleh lelaki iaitu mengandung, melahirkan, menyusui adalah fitrah yang tidak dielakkan walaupun dengan teori dan apa bentuk sekalipun.
Sebagai wanita yang terhormat, kembalilah kepada fitrah yang telah Allah berikan kepada kaum Hawa, sebagai isteri yang meneguhkan pijakan kaki suami, sebagai ibu, pendidik pertama bagi pertumbuhan dan perkembangan anak-anaknya. Tidak ada yang lebih berharga dalam hidup ini, selain daripada memiliki keluarga yang bahagia.

Posted in Cover Depan | Leave a Comment »

Bersama Kak Su

Posted by smahazan on July 16, 2008

BERSAMA KAK SU

Ogos 2008
Betapa sukar melafazkan maaf!
Untuk mendapat ketenangan dalam hidup, berikanlah kemaafan. Kata ahli psikologi, bila kita memaafkan orang barulah kita akan rasa bebas dari belenggu individu, peristiwa atau keadaan yang kita benci. Selagi kita belum memaafkan, selagi itulah apa yang kita benci akan melekat pada diri kita. Ingat, kita tidak akan bahagia selagi kita tidak memaafkan orang-orang yang terdekat dengan kita. Bahagia itu bukan dengan menerima, tetapi dengan memberi. Jadi, jangan sukar untuk memberi kemaafan.
Orang yang sukar memberi kemaafan akan mudah terkena penyakit jiwa. Kekacauan fikiran bukan disebabkan oleh sakit urat saraf tetapi kerana emosi kehampaan, kekecewaan kerisauan dan ketakutan akibat benci dan marahkan sesuatu. Penyakit ini tidak dapat diubat oleh sebarang pil tetapi akan pulih dengan sifat memaafkan orang lain. Plato pernah berkata, “Kesalahan ahli perubatan ialah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran, sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan.” Oleh itu berikan kemaafan sewaktu masih ada kesempatan kerana kiranya individu itu meninggal dunia kita akan diburu rasa bersalah sepanjang hayat.
Betapa sukarnya melafazkan sayang!
Jika anda menyayangi seseorang, lafazkanlah. Penyataan kasih sayang perlu ada dalam membentuk satu hubungan yang harmoni. Ianya mestilah mengikut kesesuaian keadaan dan masa. Sayangnya ramai pasangan yang kurang meluahkan rasa sayang ini melalui kata-kata. Jangan sesekali beranggapan bahawa sudah cukup kasih sayang yang bersemi di hati, tidak perlu diluahkan. Kata-kata amat penting kerana ia akan menyentuh emosi dan sekaligus membuat pasangan rasa dihargai.
Jangan malu melafazkan sayang. Kasih sayang ini ada hukumnya. Hukum kasih sayang ialah :Berikan dahulu kasih sayang kepada orang lain, barulah kita akan mendapat kasih sayang mereka. Perceraian sering dikaitkan dengan putusnya kasih sayang antara suami isteri.
Dalam hal ini mereka sebenarnya sukar sekali ingin memberi tetapi lebih kepada ingin menerima. Masing-masing enggan berkorban. Hakikatnya, mereka bukan sayangkan pasangan tetapi lebih sayang kepada diri sendiri. Orang yang terlalu mementingkan diri sendiri akan meminggirkan orang lain.
Hargailah pasangan kita selagi ia masih ada di depan mata. Hidup ini terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Yang pergi tak akan kembali lagi. Yang patah tak akan tumbuh lagi. Jadi hargailah semuanya selagi masih ada. Mungkin esuk anda pergi tidak akan pulang lagi. Atau isteri yang setia menunggu di sebalik pintu sudah tiada lagi. Hargailah nyawa dan kehidupan dengan kasih sayang dan cinta. Kita tidak akan bahagia selagi orang yang kita sayang tidak bahagia!

Posted in Cover, Cover Depan | Leave a Comment »

Bersama Kak Su

Posted by smahazan on June 21, 2008

BERSAMA KAK SU

Dalam menjalani kehidupan ini, pasti kita tidak sunyi dari dilanda kebosanan, kesepian, ketegangan dan kegagalan. Tetapi sebagai insan yang berfikiran positif, jangan anggap kegagalan itu satu penghalang. Sikap ingin cuba dan cuba lagi perlu ada untuk menakluk puncak kejayaan. Setelah semua itu kita lalui, pasti kita akan bertemu kebahagiaan. Kemudian bertanya kita pada hati, Bahagiakah kita? Berapa lamakah kebahagiaan itu dapat bertahan?
Bahagia bukanlah suatu destinasi tetap tetapi proses perjalanan itu sendiri. Memang itu merupakan matlamat insan, tetapi menikmati bahagia tidak terhenti pada satu-satu masa sahaja. Ia harus berlanjutan sepanjang hayat. Proses hayat itu sebenarnya melibatkan interaksi antara satu sama lain. Dan di dalam mencapai kebahagiaan, ia tidak menuntut apa-apa pengorbanan. Misalnya si isteri terpaksa memendam perasaan demi kebahagiaan rumahtangga. Kita tidak perlu mengornankan diri sendiri, menjadi lilin untuk menumpahkan cahaya demi kebahagiaan orang lain.
Kadang kala kita merenung sekeliling, mengapa ada yang tidak mencapai bahagia? Sukar sangatkah untuk mendapat bahagia itu sehingga ramai yang tidak layak untuk mengecapinya? Seperti kak Su, biarpun kak Su rasa bahagia bersama dengan abang Usu, kekadang tertanya juga hati ini apakah ini bahagia yang sejati atau cuma Kak Su yang merasa bahagia sedang orang yang melihatnya seperti Kak Su menjeruk rasa.
Pernah Kak Su bertanya pada abang Usu, bahagiakah dia hidup bersama dengan Kak Su? Kata abang Usu “ Bahagia itu bukan dirasai oleh individu. Tidak ada gunanya abang Usu bahagia kalau Kak Su menderita. Kebahagiaan itu apabila dapat berkongsi rasa dengan orang yang kita sayang. Bahagia itu apabila dapat membuat orang yang kita sayang merasa seronok, gembira dan ingin selalu bersama. Membahagiakan orang yang kita sayang akan membuat kita akan lebih bahagia.”
Terkedu Kak Su mendengar jawapan dari abang Usu. Tahulah Kak Su betapa selama ini dia sedaya upaya cuba membahagiakan Kak Su. Mungkin abang Usu juga melihat Kak Su seperti orang lain melihatnya. Ramai kawan-kawan yang bersimpati dengan Kak Su kerana mengahwini Abang Usu. Kata mereka hidup berkongsi kasih seperti Kak Su tidak lebih seperti ayam di lesung, bila dihalau terpaksa pergi. Banyak yang menuding jari kepada Kak Su kerana meletakkan cinta bukan pada tempatnya. Kalau inilah yang difkirkan oleh Abang Usu, mungkin dia juga tidak bahagia kerana menyangka Kak Su hidup menderita bersamanya.
Kebahagiaan bergantung kepada apa yang kita rasa dari hati tanpa ada apa-apa paksaan. Biarpun Kak Su sering ditinggalkan tapi yang membahagiakan Kak Su cumalah abang Usu seorang. Kak Su kenal hati Kak Su dan Kak Su tahu dia tidak pernah berdusta. Pernah Kak Su cuba untuk melupakan abang Usu dari hidup ini, tetapi ternyata yang merana adalah diri sendiri. Biarlah orang melihat Kak Su hidup merana asalkan Kak Su bahagia bersama Abang Usu.

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »

Suami Sukar Lupakan Arwah Isteri

Posted by smahazan on May 23, 2008

Majalah Pesona Wanita Keluaran Jun klik pada gambar untuk paparan lebih besar

SUAMI SUKAR LUPAKAN ARWAH ISTERI
(Salmiah dari Batu Pahat)

Saya telah berkahwin dengan suami saya, Zali sudah lima tahun. Waktu itu Zali adalah seorang duda yang kematian isteri. Zali juga mempunyai dua orang anak yang berumur 6 dan 9 tahun. Isterinya itu meninggal akibat barah payu dara. Dan Zalilah yang menjaga anaknya sendirian selama dua tahun sebelum kami bernikah. Saya kagum dengan keprihatinan Zali menjaga kedua-dua anaknya itu. Dia terlalu menyayangi kedua-dua mereka sehingga tidak pernah memarahi dan menegur mereka. Kata Zali anak-anak ini adalah lambang cinta dengan arwah isterinya.
Bermula dari rasa simpati akhirnya bertukar menjadi sayang. Dari awal perkenalan kami lagi, Zali selalu menceritakan kisah arwah isterinya. Bagi Zali , arwah isterinya adalah seorang wanita yang terlalu istimewa. Selain mempunyai raut wajah yang cantik, arwah isterinya itu seorang yang baik dan pandai menguruskan rumahtangga. Tidak pernah sekalipun Zali menceritakan keburukan arwah isterinya itu. Saya juga pernah beberapa kali dibawa oleh Zali menziarahi pusara isterinya dan waktu itu saya melihat wajahnya begitu sedih. Melihat kasih sayang Zali pada arwah bekas isterinya itulah membuatkan saya semakin sayang padanya, dan berharap Zali juga akan menyayangi saya seperti arwah isterinya itu.
Lebih enam bulan perkenalan kami, bermakna selama itulah saya menjadi pendengar yang setia tentang arwah isterinya. Saya tidak pernah mengeluh malah cuba menyelami perasaan dan sekali-sekala memberi perangsang kepadanya. Mungkin telah ditakdirkan akhirnya saya menerima lamarannya untuk menjadikan saya isteri dan ibu kepada anak-anaknya.
Setelah menjadi isterinya, saya dibawa tinggal bersama di rumah yang pernah didiaminya dengan arwah isterinya. Pertama kali saya melangkah masuk ke rumahnya, saya terpegun melihat gambar arwah isterinya di setiap sudut rumah. Dan apabila saya dibawa ke bilik, sekali lagi saya terkedu melihat gambar perkahwinannya yang tergantung di dinding katil dan setiap penjuru bilik. Melihat saya menatap gambarnya itu, Zalipun mula bercerita tentang keistimewaan arwah isterinya itu. Bila saya bertanya di mana tempat untuk gantungkan gambar perkahwinan kami, Zali menjawab tidak perlu kerana di rumahnya sudah terlalu banyak gambar. Mendengar jawapan itu hati saya betul-betul terluka, tetapi untuk tidak mengeruhkan keadaan saya cuma diam. Biarlah saya simpan dulu dalam almari gambar perkahwinan itu , dengan harapan pada satu hari nanti, hatinya akan terbuka untuk mengantungkan gambar itu.
Bulan pertama perkahwinan kami, saya sudah merasa rimas. Apa yang saya masak dan segala yang saya buat semuanya dibandingkan dengan arwahnya isterinya. Setiap kali kami makan dia akan memuji arwah isterinya yang pandai memasak. Setiap kali saya mengemas rumah, dia akan berpesan kepada saya supaya mengelap gambar arwah isterinya supaya sentiasa bersih kerana arwah isterinya seorang yang pembersih.
Saya bukanlah seorang yang cemburu tambah lagi pada orang yang telah mati, tetapi terasa diri ini bukan diperlukan sebagai seorang isteri tapi cuma sebagai tempat untuk dia bercerita dan meluahkan rindu dendam pada arwah isterinya. Sedangkan pada saya tidak pernah sekalipun dia mengucapkan kata-kata sayang atau rindu
Kalau dulu saya sanggup mendengar ceritanya berjam-jam tapi sekarang saya tidak berminat lagi mendengarnya. Saya tahu dia marah dengan sikap saya tetapi dia tidak pernah fikir dan tidak pernah mempedulikan perasaan saya. Walaupun saya telah menjadi isterinya tapi yang menghuni di hatinya adalah arwah isterinya. Walaupun saya cuba menjadi seorang isteri dan ibu yang baik tapi bayangan arwah isterinya juga yang ada di matanya. Terasa seperti saya seolah patung yang tidak bernyawa. Saya sendiri tidak faham bagaiman saya boleh bersama dengannya selama 5 tahun sedangkan dalam tempuh selama itu dia tidak habis lagi bercerita tentang arwah isterinya. Selama tempuh itu jugalah gambar perkahwinan kami masih lagi terperuk dalam almari.
Saya sendiri merasa cemburu dengan kasih sayang suami saya yang semakin menebal kepada arwah isterinya itu. Setiap minggu saya dipaksa mengikutnya menziarahi pusara arwah isterinya. Kalau dulu saya simpati dengannya tapi sekarang saya lebih sengsaranya daripadanya. Ternyata berkahwin dengan orang yang tidak berupaya membuka sepenuh hatinya pada kita amat menyiksakan. Suami saya seorang lelaki yang setia dan penuh dengan kasih sayang tapi bukan untuk saya. Sedangkan saya tidak mampu memandang lelaki lain kerana di hati saya cuma ada dia.

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »

Suami Bosan Isteri Terlalu Cemburu

Posted by smahazan on May 19, 2008

“Cemburu tandanya sayang”, tetapi jika terlampau cemburu adalah sejenis penyakit jiwa. Terlampau cemburu juga boleh dikategorikan bahwa pasangan tersebut terlalu amat mencintai pasangannya. Orang yang mempunyai pasangan yang teramat sangat cemburu tidak mungkin dapat hidup bahagia disebabkan tingkah lakunya yang menyusahkan itu. Malah sifat ini juga merupakan salah satu dari punca penceraian rumah tangga. Oleh itu adalah normal jika seorang pasangan itu takut kalau dia terkahwin dengan pasangan yang teramat sangat cemburu sifatnya itu.

Seorang itu akan menjadi pencemburu akibat dari ciri-ciri yang ada pada pasangannya. Sebagai contoh, seorang kerani perempuan tidak menjadi pencemburu jika sekiranya dia berkahwin hanya dengan seorang guru pendidik di sekolah kebangsaan. Tetapi dia akan menjadi pencemburu jika sekiranya dia berkahwin dengan seorang yang mempunyai bakat istimewa saperti penyanyi, pemuzik, pelakun dan lain-lain kerjaya yang mempunyai ramai peminatnya.

Seorang lelaki tua tetapi kaya raya dan berkahwin pula dengan seorang gadis model yang mempunyai wajah jelita serta memiliki bentuk tubuh badan yang menarik akan amat mencemburui isterinya itu kerana atas sebab daya tarikan yang ada pada isterinya.

Begitu juga dengan seorang janda yang berkahwin dengan pemuda 10 tahun lebih muda darinya akan amat mencemburui suaminya atas faktor usia. Bagi orang yang teramat cemburu itu berasa yang dirinya sebagai seorang yang tidak menarik jika hendak dibandingkan dengan pasangannya

Kajian dari ahli-ahli psikologi berpendapat semakin luas jurang daya tarikan yang wujud di antara seorang dengan pasangannya, maka akan semakin besar kemungkinan pasangannya itu akan menjadi seorang yang amat pencemburu. Dengan itu bagi mengelakkan masaalah cemburu yang serius ini dari berlaku, maka anda adalah dinasihatkan agar memilih pasangan yang memiliki daya tarikan yang sama dan kerjaya yang seimbangan dengan diri sendiri.

Bagi pasangan suami isteri yang mempunyai daya tarikan yang seimbang, lazimnya pasangan saperti ini kurang menghadapi masaalah cemburu yang serius. Jika kurang menghadapi masaalah cemburu bermakna akan berkekalanlah rumah tangga mereka.

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.